SELALUNYA gangguan spektrum autisme (ASD) atau autisme sering disalah erti sebagai masalah dalam pembelajaran.
Sebaliknya, ia adalah kecacatan perkembangan saraf yang merangkumi keadaan ringan hingga teruk.
Sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia pada tahun ini, tema yang dipilih adalah ‘Beralih dari Bertahan Ke Berkembang: Kesedaran, Penerimaan, Penghargaan’.
Tema itu agak mengharukan kerana kanak-kanak ASD sering berhadapan stigma dan mudah dipinggirkan oleh masyarakat.
Mengulas tentang masalah itu, Pakar Kesihatan Keluarga di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr. Chow Suet Yin berkata, autisme boleh didiagnosis seawal usia 18 bulan.
Ujarnya, kebimbangan pertama ibu bapa terhadap golongan itu adalah pendidikan.
Menurutnya, biarpun masalah itu mempengaruhi beberapa aspek pembelajaran, namun autisme adalah spektrum dan setiap individu berbeza.
“Paling penting, setiap kanak-kanak ASD boleh diajar. Sebenarnya, tidak semua kanak-kanak ASD memerlukan pendidikan khas.
“Ramai daripada mereka dapat meneruskan pembelajaran di sekolah biasa dengan sedikit sokongan,” katanya.
Tambahnya, ada golongan itu yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan mempunyai pekerjaan.
Mengulas mengenai tanda-tanda biasa ASD, Dr. Suet Yin berkata, ia termasuk kesukaran atau kelewatan perkembangan komunikasi dan sosial.
Katanya, golongan itu mungkin menyalah tafsir isyarat sosial, menghadapi masalah membuat ayat lengkap atau sukar mengikut arahan.
Mereka juga mungkin menunjukkan tingkah laku berulang dan menentang perubahan.
Dr. Suet Yin menjelaskan, intervensi awal adalah penting dan dia menasihati ibu bapa untuk berjumpa doktor jika menyedari anak mereka terlepas sebarang peristiwa penting dalam proses perkembangan.
“Janji temu berkala kanak-kanak untuk imunisasi berjadual mereka adalah peluang terbaik untuk ibu bapa berbincang dengan doktor tentang perkara ini,” jelasnya.
Autisme boleh disaring menggunakan Senarai Semak Autisme Di Kalangan Kanak-kanak yang Disemak Semula (M-CHAT) seawal usia 18 bulan.
Saringan ini boleh didiagnosis secara peribadi oleh profesional penjagaan kesihatan yang berkelayakan dengan menggunakan penilaian perkembangan formal.
Kemudian, ia diikuti dengan ujian tambahan untuk menolak kemungkinan punca-punca lain seperti gangguan genetik tertentu atau keadaan neurologi.
“Penting untuk mendapatkan diagnosis yang tepat supaya ibu bapa boleh mengambil langkah sesuai untuk anak mereka.
“Jadi, saya amat menekankan kepentingan mendapatkan diagnosis daripada profesional penjagaan kesihatan berkelayakan serta menggunakan alat pemeriksaan dan penilaian berkaitan seperti M-CHAT,” katanya.
Jika diagnosis mengesahkan autisme, ibu bapa boleh mengambil langkah seterusnya dengan mempelajari cara menguruskan keperluan anak mereka.
Antara langkah yang boleh diambil termasuklah mendapatkan pendekatan pembelajaran mengikut kesesuaian.
Mengulas lanjut, Dr. Suet Yin menjelaskan, ibu bapa perlu lebih terlibat dengan pendidikan anak istimewa mereka dan bekerjasama rapat dengan guru serta ahli terapi.
“Sebagai contoh, sesi tetap dengan ahli terapi boleh membantu kanak-kanak belajar cara berkomunikasi lebih berkesan dan menyesuaikan diri dengan situasi berbeza.
“Guru juga perlu sedar tentang keperluan kanak-kanak ini dan membangunkan pelan pendidikan peribadi,” terangnya.
Bagi kanak-kanak yang ASD teruk, sekolah khusus mungkin lebih sesuai untuk keperluan mereka.
Memandangkan setiap kanak-kanak ASD adalah unik, kaedah tambahan mampu menyokong pembelajaran mereka seperti penggunaan alat dan aplikasi digital tertentu.
Dr. Suet Yin menjelaskan, perkara lain yang perlu dipertimbangkan adalah jumlah masa skrin menggunakan permainan atau aplikasi.
Mereka boleh menghabiskan masa berjam-jam bermain permainan seperti kanak-kanak lain.
“Jadi, saya menasihati supaya bersederhana. Orang dewasa perlu memantau, menetapkan sempadan yang jelas dalam mengurus jangkaan kanak-kanak serta mengurangkan tentangan.
“Ini akan menjadi satu situasi yang memerlukan penyertaan aktif ibu bapa kanak-kanak itu.
“Memandangkan teknologi sentiasa berkembang, kanak-kanak ASD perlu belajar cara menggunakannya dengan baik,” terangnya.
Mengakhiri bicara, Dr. Suet Yin menekankan bahawa setiap kanak-kanak mampu belajar termasuk golongan ASD.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini, berlaku peningkatan kadar ASD yang dicatatkan di Malaysia dan seluruh dunia.
Jadi katanya, penting bagi ibu bapa, pendidik dan masyarakat mengakui keperluan golongan itu serta menghargai kekuatan mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat inklusif.
“Bagi kanak-kanak ASD, pendidikan lebih daripada pembelajaran akademik semata-mata.
“Interaksi dan permainan berkumpulan adalah penting untuk mengasah kemahiran sosial mereka.
“Ia juga perlu diiringi dengan aktiviti harian di rumah yang boleh menjadi pembelajaran kepada mereka,” jelasnya.