MARANG – Seorang lelaki yang sedang berjoging di Pantai Pulau Kekabu di sini terkejut ternampak kelibat seekor buaya sedang berenang berhampiran benteng pemecah ombak kawasan peranginan tumpuan ramai tersebut hari ini.
Saiful Rizam Ghani, 31, mendakwa, kelibat sang bedal tersebut dilihatnya pada pukul 8.59 pagi.
“Sesudah berjoging, saya berehat sekejap di kawasan benteng pemecah ombak berkenaan sambil merakam video suasana keindahan pantai dengan kamera telefon bimbit.
“Secara tidak sengaja, saya merakam kelibat seekor buaya sedang berenang berhampiran kawasan benteng pemecah ombak tersebut sebelum menghala ke Pantai Seberang Marang berhampiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu klip video berdurasi 28 saat memaparkan kelibat buaya berkenaan yang dirakam Saiful Rizam tular di media sosial.
Lelaki yang berasal dari Kedai Buloh di sini mengakui berdebar pertama kali terserempak dengan buaya air masin.
“Saya memang biasa beriadah termasuk berjoging di Pantai Pulau Kekabu terutama pada hujung minggu, namun ini pertama kali ternampak buaya.
“Saiznya sangat besar dan mohon pengunjung pantai peranginan sekitar daerah ini berhati-hati dan waspada dengan kehadiran buaya terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE