KEMAMAN – Pendaratan ikan dan hasil laut di seluruh negara tidak terjejas dengan 250,000 matrik tan berjaya dinaikkan dalam sebulan meskipun cuaca panas dan kering melanda beberapa negeri sejak lebih dua bulan lalu.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, setakat ini, pendaratan ikan dan hasil laut lain di 48 Kompleks LKIM seluruh negara masih berjalan lancar.
“Pendaratan ikan berjalan seperti biasa dan tidak terjejas kerana di negara ini, sebahagian besar bekalan ikan adalah bergantung kepada bot besar yang berada di laut dalam iaitu Zon B dan C.
“Secara puratanya, kita dapat mendaratkan kira-kira 250,000 matrik tan hasil laut di seluruh negara setiap bulan,” katanya di Kompleks LKIM Kuala Kemaman di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan Kedai Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kemaman.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz berkata, LKIM menyasarkan untuk membina enam lagi Kedai Nelayan di seluruh negara dalam usaha membantu golongan berkenaan memasarkan produk mereka.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 14 Kedai Nelayan telah dibuka di 10 negeri di seluruh negara sejak tahun lalu.
“Kita telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 untuk setiap Kedai Nelayan bagi membantu PNK terlibat menaik taraf premis dan menambah modal pusingan awal,” katanya. – KOSMO! ONLINE