KUALA LUMPUR – CIMB Securities Sdn. Bhd. (CIMB Securities) menyasarkan penguasaan pada paras digit tunggal yang tinggi di pasaran modal tempatan menjelang akhir tahun, sambil menyokong aspirasi kerajaan untuk membentuk ekosistem yang meriah dan merangsang pertumbuhan pasaran modal.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Borong Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank, Novan Amirudin berkata, CIMB Securities telah menyaksikan permulaan positif tahun ini.
“Daripada pemilikan bahagian pasaran kurang satu peratus pada bulan Januari (kedudukan ke-22 dalam Bursa Broker Ranking), kami berada pada paras 4.5 peratus pada Mac (kedudukan ke-9).
“Dalan tempoh dua bulan pertama, kami telah mengantara dagangan blok bernilai RM6.3 bilion, termasuk penjualan kepentingan AmBank oleh ANZ berjumlah RM2.1 bilion, yang merupakan perdagangan blok ekuiti terbesar di Malaysia sejak tujuh tahun lalu,” katanya pada majlis pelancaran CIMB Securities di sini hari ini.
CIMB Group Holdings Berhad menerusi bank pelaburannya, CIMB Investment Bank Berhad menyelesaikan pengambilalihan KAF Equities Sdn. Bhd. pada 8 Februari lalu, yang dijenamakan semula sebagai CIMB Securities.
Ia dibuat susulan pelupusan baki kepentingan CIMB dalam usaha sama pembrokeran sahamnya dengan CGS International Holdings Limited (dahulu dikenali sebagai China Galaxy International Financial Holdings Limited) pada Disember 2023.
Menurut Novan, CIMB Securities bukan sebuah perniagaan yang berdiri sendiri, ia merupakan sebahagian daripada ekosistem perbankan borong yang lebih luas, yang mana pihaknya menyediakan rangkaian penyelesaian lengkap kepada pelanggan melalui ‘pendekatan satu bank’ CIMB.
“Pada mulanya kami akan memberi fokus kepada pasaran borong, dan terus bekerjasama dengan China Galaxy untuk segmen runcit dan kekayaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE