SUNGAI PETANI – Seorang buruh maut dalam keadaan putus sebelah kaki selepas digilis kereta dalam kemalangan di Kilometer 33.1, Jalan Alor Setar-Butterworth dekat Gurun di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian kira-kira pukul 8.10 malam ketika mangsa, Ooi Kheng Lim, 65, yang beralamat di Sungai Daun, Yan sedang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Gurun ke Guar Cempedak.
“Mangsa tiba-tiba membuat pusingan U ketika tiba di lokasi kejadian dan masuk ke laluan bertentangan menyebabkan sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun dari arah hadapan tidak sempat mengelak lalu melanggarnya.
“Disebabkan jaraknya terlalu dekat, mangsa turut digilis kenderaan terbabit menyebabkan kaki kirinya putus selain mengalami parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Kata Wan Azharuddin, kesan kejadian itu menyebabkan motosikal mangsa remuk teruk di bahagian hadapan, manakala kereta berkenaan kemek bonet hadapan serta pecah cermin hadapannya.
Wan Azharuddin berkata,pemandu kereta Perodua Myvi yang bekerja sebagai kerani dan berasal dari Telok Kechai, Kuala Kedah itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim di sini, manakala pemandu kereta Perodua Myvi itu ditahan bersama kenderaannya untuk diambil keterangan dan pemeriksaan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE