KLUANG – Penghantaran pertama helikopter Black Hawk Tentera Darat Malaysia (TDM) yang sepatutnya dibuat pada April lalu akan diuruskan sebagaimana yang terkandung di dalam kontrak.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jika tiba waktunya, sekiranya ia tidak dapat dilaksanakan, pihaknya akan membuat keputusan sama ada membatal, membuka tender semula dan sebagainya.
“Itu sebabnya dalam kontrak kita mengambil kira perkara seperti ini, memang akan terjadi jadi bila ia betul-betul berlaku, maka kita akan merujuk kepada kontrak.
“Tapi akan ada satu masa kita akan anggap memang betul-betul tidak boleh hendak dilaksana, maka ketika itu kita perlu membuat keputusan sama ada batal, buka tender semula dan sebagainya,” katanya ketika lawatan kerja ke Kem Mahkota Kluang di sini hari ini.
Terdahulu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dilaporkan berkata, penghantaran peringkat pertama itu melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk.
Helikopter itu sepatutnya diterima TDM pada November lalu, bagaimanapun susulan beberapa kekangan melibatkan kontraktor dan pengeluar berlakunya sedikit kelewatan. – KOSMO! ONLINE