SINGAPURA – Penyanyi dan aktres Hong Kong, Charlene Choi dilihat memberikan reaksi tidak menyenangkan ketika cuba makan isi durian di sebuah kafe di Singapura, lapor portal berita VnExpress semalam.
Charlene dilihat meludahkan semula isi ‘Raja Buah’ tersebut.
Menurut portal berita AsiaOne, klip video mengenainya dikongsi dalam akaun rasmi program televisyen, Girls’ Spectacular Journey di platform sosial Douyin kelmarin.
Rakaman itu menunjukkan Charlene bersama penyanyi dan pelakon Hong Kong, Gillian Chung serta selebriti Joey Yung melawat kafe 99 Old Trees Durian di Singapura.
Mereka diperkenalkan kepada pelbagai jenis durian termasuk S17, Udang Merah, Jin Feng, D13, Black Pearl, dan Mao Shan Wang.
Joey kemudian menggalakkan Charlene cuba makan buah durian Mao Shan Wang.
Aktres itu yang teragak-agak, mengambil seulas durian Mao Shan Wang dan merasanya tetapi segera menunjukkan ekspresi tidak menyukai buah tersebut.
Dia tidak sanggup menelan isi buah itu dan meludahkannya.
Dalam ruangan komen di bawah video klip tersebut, ramai netizen berkongsi pengalaman seperti Charlene apabila mereka merasai buah durian buat kali pertama.
Namun, ada pula yang menyatakan bahawa buah durian sebenarnya sedap dimakan. – AGENSI