MELAKA – Seorang akauntan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memasang kamera televisyen litar tertutup (CCTV) dalam tandas untuk mengintip rakan sepejabatnya, Selasa lalu.
Hukuman ke atas tertuduh, Chong Soon Hoe, 25, dibuat Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Pemuda itu didakwa mengaibkan kehormatan mangsa yang berusia 28 tahun dengan cara memasang CCTV dalam plastik tisu di tandas sebuah pejabat di Jalan Tun Perak di sini pada pukul 4.30 petang, 7 Mei lalu.
Semasa kejadian, wanita itu yang juga ejen cukai ternampak CCTV yang disorokkan ketika mahu menggunakan tandas.
Mangsa kemudian memeriksa CCTV menggunakan komputer riba dan mendapati kamera itu dipasang oleh tertuduh yang juga rakan sepejabatnya. Selain itu terdapat rakaman video dirinya berada di dalam tandas.
Peguam Kent Tan Chow Teng mencadangkan anak guamnya dikenakan bon berkelakuan baik dengan tertuduh merupakan pelajar cemerlang dan kali pertama melakukan kesalahan itu selain anak lelaki tunggal menjaga ibu bapa yang menghidap penyakit darah tinggi dan diabetes.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian membantah cadangan itu dan memohon hukuman setimpal mengambil kira fakta kes serta kepentingan awam. – KOSMO! ONLINE