MANCHESTER – Kem Manchester United bergolak lagi selepas beberapa bintang pasukan itu meramalkan pengurus, Erik ten Hag akan dipecat sebaik sahaja saingan musim ini melabuhkan tirainya nanti.
Petanda-petanda itu sudah dapat dilihat apabila peminat setia The Red Devils mendesak pemilik kelab memecat Ten Hag dengan kadar segera selepas mereka tewas 0-4 kepada Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.
Meskipun berada dalam situasi cukup membimbangkan ketika ini dengan kemungkinan tidak dapat beraksi pada saingan bola sepak Eropah musim depan, namun pengurusan tertinggi kelab enggan membuat keputusan terburu-buru.
Sebaliknya, mereka sedia memberikan peluang terakhir kepada pengendali dari Belanda itu bagi membuktikan kredibilitinya dengan menjulang trofi Piala FA pada perlawanan akhir menentang Manchester City 25 Mei ini.
“Saya tidak fikirkan mengenai perkara ini (potensi dipecat) kerana tugas saya adalah untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi perlawanan. Kami akan berdepan masalah lebih besar jika saya hanya bimbangkan kedudukan sendiri.
“Bagi saya, buat masa sekarang kelab adalah segala-galanya. Anda semua boleh lihat peminat-peminat masih memberikan sokongan penuh kepada pasukan dan ia mampu menjadi tonik untuk pemain,” kata Ten Hag.
Jika dilihat pada tiga perlawanan liga terakhir menentang Arsenal, Newcastle United dan Brighton, United dijangka tidak mampu untuk memperoleh satu mata pun sekiranya masih mengekalkan aksi sama.
Sementara itu, legenda England dan bekas pemain United, Michael Owen mendesak supaya Ten Hag dipecat sebelum perlawanan akhir Piala FA sekiranya tidak mahu pasukan itu mengalami kekalahan memalukan.
“Sampai satu tahap, anda terpaksa melakukan keputusan kerana mereka akan dibelasah Manchester City pada aksi final itu nanti. Saya juga percaya United tidak akan mengutip sebarang mata dalam baki tiga perlawanan liga,” ujarnya. – AGENSI
HABIS.