JAKARTA – Syarikat satelit milik Elon Musk, Starlink telah diberikan lesen untuk beroperasi di Indonesia, kata seorang pegawai kanan Kementerian Komunikasi dan Maklumat hari ini.
Perkara itu dinyatakan oleh pegawai kementerian berkenaan, Usman Kansong kepada AFP.
“PT Starlink Indonesia diberikan lesen perniagaan untuk mengendalikan operasi telekomunikasi khususnya Terminal Apertur Sangat Kecil (VSAT) dan permit pembekal perkhidmatan internet (ISP),” kata Usman.
Menurutnya, perkhidmatan Starlink akan mengadakan operasi percubaan bulan ini di ibu negara baharu Indonesia, Nusantara.
Nusantara yang terletak di Pulau Borneo itu akan membuka pintunya pada Ogos ini.
Starlink bagaimanapun akan dilancarkan secara rasmi di Indonesia pada satu tarikh selepas itu.
Rangkaian satelit orbit rendah Starlink berupaya membekalkan perkhidmatan internet ke lokasi terpencil atau kawasan tanpa infrastruktur komunikasi konvensional.
Indonesia yang mempunyai lebih 17,000 buah pulau dan Jakarta berusaha untuk menghubungkan berjuta-juta lagi penduduknya yang tidak mempunyai perkhidmatan internet yang kukuh.
Hanya dua pertiga daripada lebih 270 juta penduduk Indonesia memiliki akses internet menjelang tahun 2022, demikian menurut Bank Dunia.
Starlink pula telah beroperasi di rantau Asia Tenggara iaitu di Malaysia dan Filipina. – AFP