fbpx

Sel tumor makin mengganas, gadis perlu RM550,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QIAO QI yang menghidap tumor hati jarang jumpa ketika dirawat di sebuah hospital di Alor Setar.

SEBERANG PERAI – Siapa menduga gadis yang dahulunya ceria dan aktif, tetapi kini terpaksa menghabiskan masa di katil hospital selepas disahkan menghidap tumor hati jarang berlaku.

Tan Qiao Qi, 18, memerlukan RM550,000 untuk menampung kos rawatan itu memandangkan sel tumor semakin mengganas.

Pengerusi badan amal One Hope Charity dan Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Qiao Qi baru sahaja disahkan menghidap penyakit itu pada awal tahun ini.

“Wajahnya berubah pucat, muntah-muntah, sakit tulang dada dan berpeluh-peluh pada awal pagi hari pertama menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 29 Januari lalu.

“Selepas dikejarkan ke hospital, tumor hatinya didapati telah pecah serta memerlukan pembedahan kecemasan bagi mengeluarkan darah kotor dan dua pertiga hatinya diserang sel kanser.

“Dia yang di­sahkan mengidap Recurrent Embryonal Sarcoma of the Liver terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selama sebulan lebih,” katanya.

Menurutnya, Qiao Qi kembali pulih sejurus menjalani rawatan, namun badannya pula secara tiba-tiba berubah menjadi kuning sebelum doktor mengesahkan sel tumor telah menyerang semula, baru-baru ini.

“Selepas dirujuk ke sebuah hospital di Alor Setar, Kedah, pakar memaklumkan yang dia perlu menjalani pembedahan, namun ia hanya boleh dibuat jika beratnya 48 kilogram (kg) berbanding hanya 39 kg ketika ini.

“Oleh kerana sel tumor sema­kin ganas, dia perlu dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, namun kos yang sangat tinggi.

“Bantuan orang ramai amat diperlukan bagi menampung kos rawatan itu yang mencecah RM550,000,” katanya.

Tambahnya, bapa gadis itu, Tan Chai Hee, 50, hanya berniaga pakaian di pasar malam, manakala ibunya, Ng Sock Ching, 47, pula menjual pakaian di kedai.

Ujarnya, pasangan itu juga perlu menanggung anak sulung mereka berusia 23 tahun yang masih menuntut di universiti.

Orang ramai yang ingin me­nyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad bernombor 3235446336 atas nama One Hope Charity & Welfare.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 016-4192 192 atau 019-2322 192 atau layari onehopecharity.org. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI