fbpx

Runtuhan batu buat penduduk Iboi risau kepala air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rahmah menunjukkan hakisan tebing Sungai Iboi yang berlaku berdekatan rumahnya di Kampung Iboi, Kupang, Baling semalam.

BALING – Penduduk di Kampung Iboi di Kupang, di sini, kembali diselubungi ketakutan apabila mengesan runtuhan tanah dan batu dari kawasan Gunung Inas sejak awal tahun ini.

Rata-rata penduduk di situ bimbang tragedi kepala air yang meragut nyawa dan memusnahkan banyak rumah pada 2022 berulang lagi.

Menurut penduduk, Noor Mohamad Che Hussain, 61, ada runtuhan yang hampir dengan penempatan penduduk iaitu kira-kira 100 meter sahaja.

“Kami rasa bimbang kerana keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini. Sebelum ini, cuaca di Baling terlampau panas dan sekarang ini pula kerap hujan.

“Runtuhan baharu itu menyebabkan kami rasa takut setiap kali tiba musim hujan. Tragedi kepala air atau aliran puing pada 4 Julai 2022 masih membekas dalam diri setiap penduduk di sini,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Rahmah Din, 60, berkata, dia tidak dapat tidur lena setiap kali hujan lebat kerana rumahnya terletak berdekatan sungai.

“Tebing sungai dengan dinding dapur rumah hanya sedepa, bila-bila masa sahaja tebing sungai ini boleh runtuh dan menghanyutkan sebahagian rumah sekiranya berlaku kepala air,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Baling, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, runtuhan mungkin berlaku akibat cuaca panas dan ke­ring sejak hujung tahun lalu sehingga mengakibatkan tanaman penutup bumi seperti pokok kekacang yang berfungsi mencengkam tanah dan batu mati.

“Apabila pokok menjalar itu mati, tanah dan batu semakin renggang dan ia berisiko berlaku runtuhan yang besar apabila musim hujan. Saya sudah ketengahkan perkara ini kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Perhutanan negeri untuk pantau keadaan ini,” katanya.

Menurutnya, perkara itu sa­ngat serius dan memohon kerjasama JMG untuk melakukan kajian mengenai risiko runtuhan ketika hujan di situ.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, jambatan baharu bagi menggantikan jambatan Bailey di Kampung Iboi telah diluluskan dengan kos sebanyak RM23 juta.

Jambatan Bailey dibina selepas tragedi kepala air dan banjir kilat pada 4 Julai 2022 di Kampung Iboi dengan jambatan sepanjang 27.43 meter dan lebar 5.49 meter itu dibina pada 7 Julai dan siap dalam tempoh 36 jam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI