fbpx

Penuntut IPT didakwa simbah, cedera rakan baik guna asid sulfurik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA polis mengiringi Keertana (kiri) semasa tiba pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu hari ini. - ROSALWANI CHE SOH

KOTA BHARU – Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Johor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mencederakan rakan baiknya dengan asid sulfurik dan memiliki cecair itu pada minggu lalu.

Tertuduh, R. Keertana Naidu, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Keertana didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Nurul Husna Rahim, 22, dengan asid sulfurik di pejabat jabatan sebuah universiti di Kubang Kerian di sini pada pukul 4.23 petang, 3 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Tertuduh juga didakwa memiliki asid sulfurik di lokasi dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh amat serius.

“Pertikaian masalah timbul antara tertuduh dan mangsa sehingga menyebabkan tertuduh sanggup datang dari Johor membawa sebotol asid sulfurik. Sudah pasti berlaku risiko yang tinggi sekiranya tertuduh diberikan ikat jamin,” katanya.

Peguam Azeezi Nordin merayu agar anak guamnya diberikan jaminan munasabah kerana dia pelajar cemerlang dan bakal menghadapi peperiksaan.

“Sebelum ini, mangsa merupakan rakan baik anak guam saya. Mereka tinggal sebilik ketika menuntut di kolej matrikulasi. Selain itu, bapanya bekerja sebagai ejen insurans dengan pendapatan RM1,000 sebulan,” ujarnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI