PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mempunyai peluang untuk menyambar tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila dijadual beraksi pada Kejohanan Olahraga SEC di Gainesville, Florida, Amerika Syarikat (AS) yang bermula hari ini.
Pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) itu menyifatkan kejohanan berkenaan adalah peluang untuk dia merakam masa yang lebih baik.
“Satu lagi peluang untuk menghasilkan keputusan yang lebih baik, minggu SEC. Bismillah,” tulis Azeem menerusi ciapan di laman X miliknya.
Pada tahun ini, Azeem mempamerkan larian positif dengan memperbaiki catatan masa pada Kejohanan Olahraga LSU Invitational di Baton Rouge, Los Angeles, 27 April lalu dengan mencatat 10.24s untuk menduduki tempat ke-12 keseluruhan, namun tidak diiktiraf disebabkan bantuan angin.
Pada 21 April lalu, pelari 20 tahun tersebut melakukan catatan 10.31s ketika menduduki tempat ketiga pada Kejohanan Olahraga Tiger Klasik di Alabama selain meraih pingat gangsa di Kejohanan Olahraga Yellow Jacket di Georgia Tech, Atlanta Mac lalu dengan catatan 10.38s.
Pelari kelahiran Perak itu juga mencatat 10.44s pada Kejohanan Olahraga Jemputan Tom Jones Memorial 2024 di Gainesville, Florida bagi menamatkan saingan di kedudukan ke-22 secara keseluruhan daripada 75 peserta.
Bagi melayakkan diri secara merit ke Olimpik Paris, Azeem perlu mencatat masa sekurang-kurangnya 10s dan sekiranya penuntut Universiti Auburn, Alabama itu gagal melakukan catatan tersebut, dia masih berpeluang layak menerusi kedudukan ranking.
Azeem ketika ini berada di kedudukan ke-44 ranking kelayakan ke Paris dan dia perlu berada dalam kelompok 56 terbaik sebaik pusingan kelayakan berakhir pada penghujung bulan depan.