PETALING JAYA – Ketika netizen masih hangat membahaskan acara fesyen ulung dunia, Met Gala 2024, nama penyanyi Aina Abdul disebut-sebut sebagai perbandingan.
Semuanya bermula apabila Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, itu memuat naik foto deretan busana ikoniknya yang pernah disarungkan sebelum ini.
“My garden of time archives,” tulis Aina ringkas seiring tema Met Gala tahun ini yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat.
Dalam hantaran tersebut, Aina berkongsi foto mengenakan busana seperti baju akar yang dipakai ketika Anugerah Juara Lagu ke 38 (AJL38) lalu, gaun pokok AJL36 dan persalinan Bunga Raya di sebuah acara pertandingan realiti.
Pelantun lagu Jangan Mati Rasa Itu turut berkongsi busana mega ketika di karpet merah Anugerah Bintang Popular ke 34 (ABP34).
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata peminat menyifatkan Aina layak untuk mewakili Malaysia ke acara fesyen tahunan tersebut.
Malah, ada juga berpendapat fesyen-fesyen Aina setanding dan lebih baik berbanding selebriti Hollywood yang hadir.
“Aina telah mendahului kalau bab fesyen, dia patut wakili Malaysia ke Met Gala, pasti orang sana akan ternganga mulut melihat busana avant-garde itu nanti,” komen seorang netizen.
“Met Gala lambat, Aina Abdul dah tapau semua,” kata netizen.
“Semua baju Aina menepati tema Met Gala tahun ini, bahkan lebih baik daripada pakaian beberapa artis Hollywood yang seperti terpesong daripada tema,” seorang seorang netizen.
“Kalau Aina pergi memang terpelanting semua orang,” demikian komen seorang lagi pengguna media sosial.
Met Gala berlangsung di Muzium Seni Metropolitan di New York City pada hari Isnin pertama bulan Mei setiap tahun dan tema bagi Met Gala 2024 adalah The Garden of Time – KOSMO! ONLINE