NAIROBI – Presiden William Ruto mengisytiharkan esok (Jumaat) hari cuti umum sebagai tanda memperingati 238 orang yang terkorban dalam bencana banjir di Kenya, lapor laman berita Afrika News.
Ruto berkata, hari tersebut akan diisi dengan aktiviti penanaman pokok peringkat kebangsaan bagi membantu mengurangkan kesan buruk perubahan iklim.
Kenya dan sebilangan negara lain di rantau Afrika Timur dilanda banjir besar dengan lebih 235,000 penduduk hilang tempat tinggal dan terpaksa berlindung di berpuluh-puluh penempatan sementara.
Ruto turut mengumumkan pembukaan semula sekolah di Kenya yang ditutup selama dua minggu akibat hujan lebat dan banjir.
Menurutnya, lebih 1,000 sekolah terjejas akibat bencana itu.
Dalam perkembangan berkaitan, jabatan meteorologi menyatakan hujan sederhana dan lebat diramalkan melanda kebanyakan kawasan di negara itu.
Kerajaan juga dalam proses memindahkan penduduk yang tinggal di kawasan terdedah banjir termasuk sungai serta empangan.
Tindakan itu dilakukan selepas air di empangan hidroelektrik utama Kenya meningkat kepada ‘paras tertinggi dalam sejarah’. – AGENSI