SHAH ALAM – Insiden malang menimpa tonggak kebangsaan, Faisal Halim berjaya menyatukan seluruh komuniti bola sepak di negara ini yang tidak putus-putus memberikan sokongan moral kepada pemain itu.
Di sebalik kiriman doa daripada jauh penyokong, kelab tempatan lain juga turut kekal utuh dibelakang Faisal bagi menyaksikannya kembali ‘menari’ atas lapangan hijau selepas ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata walaupun berdepan beberapa kekangan, Faisal kini makin menunjukkan perkembangan positif dan pastinya menghadirkan khabar positif kepada komuniti bola sepak Malaysia.
“Kunjungan ini titah Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah selaku pemilik Sri Pahang kerana mengenangkan pasukan asah Faisal sejak umur 17 tahun hingga berjaya ke peringkat terbaik sebelum ke Terengganu.
“Tengku Muda sangat sayangkan Faisal. Tadi kami ada ‘video call’ dengannya, Alhamdulillah semangat dia kuat walaupun dalam keadaan lemah tetapi yang penting kita sebagai komuniti bola sepak, kita adalah satu keluarga dan kita zahirkan simpati serta doa buatnya.
“Hari ini pun hari terakhir Hari Raya, jadi kami ambil kesempatan ini beri semangat dan masa bercakap dengannya, dia ucap Selamat Hari Raya kepada Tengku Muda dan beritahu terima kasih kerana hantar delegasi melawat. Walaupun dia kecil, semangat dia tinggi,” katanya selepas melawat Faisal, hari ini.
Rombongan itu diketuai oleh Pengerusi Sri Pahang FC, Raja Datuk Shaharuddin Shah Raja Jalil Shah diikuti pengurus pasukan, Datuk Dollah Salleh. – KOSMO! ONLINE