KOTA SAMARAHAN – Dua pekerja buruh binaan warga Indonesia meninggal dunia akibat dihempap dinding konkrit yang runtuh di Lorong Samarindah 14B di sini pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, Ebby Hirwandy Sarbini berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 11.25 pagi tadi dan pasukan dari BBP Kota Samarahan segera digerakkan ke lokasi.
Katanya, setiba di lokasi mendapati kedua-dua lelaki berusia 29 dan 42 tahun itu terperangkap di bawah runtuhan dinding konkrit yang sedang dalam pembinaan itu, yang dianggarkan berketinggian lima kaki.
“Pasukan BBP Kota Samarahan kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dengan bantuan pekerja binaan menggunakan jengkaut. Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia oleh paramedik di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.-KOSMO! ONLINE