fbpx

Daim mohon kes gagal isytihar 70 harta didengar di Mahkamah Sesyen lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Na'imah ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh Saddam Yussof/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin telah memfailkan permohonan agar pertuduhan tidak mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pengisytiharan 70 harta didengar dan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen lain.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How pada sebutan semula kes itu dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi di sini hari ini.

“Memandangkan ada permohonan untuk memindahkan prosiding kes ini ke Mahkamah Sesyen lain, saya (pendakwaan) mohon permohonan ini didengar terlebih dahulu,” kata Chin How.

Semasa prosiding peguam M.Puravelan yang mewakili Daim turut mengesahkan perkara berkenaan.

Daim memfailkan permohonan itu pada 7 Mei lalu atas alasan antaranya terdapat kemungkinan berlaku ketidakadilan dan prejudis terhadapnya kerana kes isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid juga didengar di hadapan hakim sama (Azura).

Pada prosiding sama, Chin How turut memohon supaya pendengaran permohonan Daim dan isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk merujuk isu perlembagaan pertuduhan yang dihadapai mereka ke Mahkamah Tinggi didengar bersama.

Hakim Azura kemudian memutuskan supaya permohonan Daim untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen lain didengar terlebih dahulu pada 4 Julai dan menetapkan tarikh sama untuk pengurusan kes pasangan tersebut.

Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, Daim tidak hadir ke mahkamah kerana kehadirannya dikecualikan.

Pada 29 Januari lalu, Daim, 86, didakwa dan mengaku tidak bersalah pertuduhan dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023 yang telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023.

Harta itu antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, Mercedez Benz serta Roll Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak serta Pahang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu.

Sebelum itu pada 23 Januari lalu, Na’imah, 67, turut didakwa atas pertuduhan sama membabitkan antaranya bangunan Menara Ilham, dua kereta Mercedez Benz serta beberapa aset harta di Bukit Tunku, Taman Tun Dr. Ismail dan Pulau Pinang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat dan tarikh yang sama.

Justeru pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut seksyen 36(2) Akta SPRM (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh didenda tidak lebih RM100,000 jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI