PETALING JAYA – Cap jari dipercayai milik suspek kes simbahan asid melibatkan pemain Harimau Malaya, Faisal Halim yang ditemukan di lokasi kejadian sedang dianalisis untuk tindakan selanjutnya.
Perkembangan itu dikongsikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain selepas meninjau semula lokasi kejadian di sebuah pusat beli-belah semalam.
Menurut beliau, semakan ke atas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian mendapati suspek ada menyentuh beberapa permukaan sehingga meninggalkan kesan cap jari.
“Kita sudah ekstrak beberapa cap jari yang ditinggalkan. Buat masa ini kita masih menunggu analisis cap jari ini.
“Sekiranya ia memberikan gambaran positif kita dapat ‘mendekatkan diri’ dengan suspek-suspek terbaharu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Jelas Mohd. Shuhaily, wajah suspek sukar dikenal pasti kerana pelaku memakai topi selain kedudukan CCTV yang tidak menjurus ke arahnya.
“Buat masa ini, tiada tangkapan baharu dan saya menidakkan apa jua laporan yang dikeluarkan oleh portal yang tidak sahih,” tegasnya.
Pada 5 Mei lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada tubuh selepas disimbah asid sulfurik oleh individu tidak dikenali.
Beliau diserang ketika berada di sebuah pusat beli-belah pada pukul 5 petang.
Ekoran kejadian itu, polis memberkas suspek pertama, namun lelaki itu dibebaskan selepas didapati tidak mempunyai kaitan dalam kes yang disiasat.
Pada 6 Mei lalu, polis menahan pula suspek kedua yang berusia dalam lingkungan 30-an di Bandar Baru Bangi.
Semakan mendapati suspek tersebut mempunyai tujuh rekod lampau..-KOSMO! ONLINE.