PETALING JAYA – Mereka yang tidak sempat untuk menyelesaikan puasa enam hari pada bulan Syawal boleh menyelesaikan baki seterusnya pada bulan Zulkaedah, sebagai ganti sekiranya terlambat menyempurnakan ibadah itu.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, sebahagian ulama mengharuskan puasa sunat enam hari di luar bulan Syawal, manakala sebahagian berpendapat melakukannya pada luar bulan Syawal masih mendapat fadilat, tetapi kurang berbanding pada bulan Syawal.
“Terdapat juga dalam kalangan mereka berharap bahawa, perbuatan tersebut masih mendapat pahala bagi orang yang tidak sempat untuk menyelesaikan puasa enam hari pada bulan Syawal kerana fadilat Allah itu luas dan pemberian-Nya tidak terbatas.
“Justeru, kami menasihati bagi mereka yang tidak sempat menyelesaikan puasa enam pada bulan Syawal dengan hanya sempat berpuasa empat hari sahaja, maka dia boleh terus menyelesaikan baki puasa dua harinya pada bulan Zulkaedah,” katanya pada hantaran Facebook.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan sekiranya sempat berpuasa empat hari pada bulan Syawal dan sama ada boleh meneruskan puasa yang berbaki dua hari walaupun Syawal sudah berakhir.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, perbuatan meneruskan puasa sunat itu adalah baik dan semoga ia masih mendapat pahala dengan rahmat dan fadilat daripada Allah. – KOSMO! ONLINE