QUETTA, Pakistan – Enam pekerja asing ditembak mati di barat daya Pakistan, kata polis hari ini dalam kejadian di wilayah Balochistan di mana kumpulan-kumpulan militan sudah lama melancarkan keganasan etnik terhadap orang luar.
Semua lelaki itu terbunuh lewat kelmarin di rumah mereka, 25 kilometer dari Gwadar di wilayah Balochistan di mana China melakukan pelaburan untuk membiayai pembinaan pelabuhan laut dalam.
Polis berkata, semua pekerja itu berhijrah ke Balochistan dan bekerja sebagai tukang gunting rambut.
Mereka dipercayai menjadi sasaran kerana tergolong dalam etnik Punjabi. Etnik tersebut adalah yang paling ramai penduduk dan berpengaruh di Pakistan.
“Kami sedang menyiasat perkara ini tetapi nampaknya mangsa diserang kerana mereka orang Punjabi,” kata pegawai kanan polis di Gwadar, Muhammad Mohsin sambil menambah, enam orang terbunuh dan seorang cedera.
Seorang lagi pegawai polis, Zohaib Ahmad mengesahkan jumlah kematian tersebut dan berkata, semua mangsa ditembak mati di dalam rumah mereka.
Balochistan adalah wilayah terbesar tetapi paling miskin di Pakistan, walaupun rantau berkenaan kaya dengan sumber semula jadi.
Kumpulan-kumpulan militan pada masa lalu menyasarkan etnik Punjabi dan Sindhi, serta kepentingan asing yang mereka percaya mengeksploitasi wilayah miskin itu tanpa berkongsi kekayaannya.
Pada bulan lalu, seramai 11 pekerja etnik Punjabi terbunuh di wilayah itu apabila enam lelaki bersenjata menyerang sebuah bas berhampiran bandar Naushki. – AGENSI