PETALING JAYA – Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mencadangkan supaya paras gaji minimum di negara ini disemak semula dan dinaikkan kepada paras RM2,102 sebulan.
Menurut laporan bertajuk Ranjau Sepanjang Jalan yang diterbitkan UNICEF Malaysia, hasil tinjauan berulang tentang impak kos sara hidup pasca pandemik terhadap isi rumah berpendapatan rendah di Kuala Lumpur, tahap gaji minimum pada masa ini terlalu rendah dan tidak mencukupi untuk pekerja.
“Setelah mengambil kira beberapa faktor utama seperti kos sara hidup, pendapatan penengah, pendapatan garis kemiskinan, dan produktiviti, gaji minimum yang sebenar adalah RM2,102 sebulan dan bukannya RM1,500 seperti sekarang,” katanya.
Laporan tersebut berdasarkan kajian yang bertumpu pada tinjauan dibuat selepas pandemik, yang dijalankan dari 14 Oktober 2023 hingga 16 November 2023 untuk mengumpulkan data daripada 755 isi rumah berpendapatan rendah yang tinggal di 16 perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur.
Antara sorotan utamanya ialah kebanyakan ketua isi rumah sudah kembali bekerja dan pendapatan keluarga juga bertambah baik, namun kemiskinan masih tinggi terutama dalam kalangan wanita, kanak-kanak, serta orang kurang upaya.
“Apa yang diperlukan oleh isi rumah ialah gaji dan upah yang lebih tinggi, manakala subsidi petrol tidak mendapat sokongan yang tinggi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE