WASHINGTON – Platform media sosial, TikTok menyaman kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) kelmarin dalam usaha untuk menyekat undang-undang baharu yang akan berkuat kuasa terhadapnya, lapor akhbar New York Post.
Saman itu dibuat kerana undang-undang tersebut akan memaksa syarikat induk TikTok yang berpangkalan di China, ByteDance, untuk menjual aplikasi perkongsian video popular itu pada tahun depan. Jika enggan, ia berdepan pengharaman sepenuhnya di AS.
Tuntutan undang-undang itu difailkan di sebuah mahkamah rayuan persekutuan di Washington.
Saman itu menuntut mahkamah untuk menghalang pelaksanaan undang-undang tersebut yang ditandatangani oleh Presiden AS, Joe Biden pada bulan lalu.
TikTok berhujah bahawa undang-undang dikenali sebagai Akta Melindungi Penduduk Amerika Daripada Aplikasi Kawalan Musuh Asing itu adalah tidak berperlembagaan.
Tambahnya, penjualan TikTok dalam tempoh masa 12 bulan adalah sama sekali tidak mungkin dapat dilakukan.
“Akta itu akan memaksa penutupan TikTok pada 19 Januari 2025 dan ‘mendiamkan’ 170 juta rakyat Amerika yang menggunakan platform itu untuk berkomunikasi dengan cara yang tidak boleh dilakukan di tempat lain,” kata tuntutan mahkamah tersebut.
TikTok menuntut mahkamah untuk memutuskan bahawa undang-undang tersebut melanggar Perlembagaan AS selain memberikan sebarang pelepasan lanjut yang mungkin sesuai berhubung tuntutan saman itu.
Di bawah undang-undang tersebut, ByteDance perlu melepaskan pegangannya dalam TikTok selewat-lewatnya pada 19 Januari 2025 atau sehari sebelum tempoh jawatan Biden sebagai Presiden tamat. – AGENSI