fbpx

Serangan ke atas Faisal, Akhyar, Safiq guna modus operandi sama – Shuhaily

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri, Akhyar, Faisal dan Safiq.

KUALA LUMPUR – Serangan yang dilakukan terhadap tiga pemain bola sepak tanah air baru-baru ini dipercayai menggunakan modus operandi yang sama.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berikutan kejadian itu membabitkan dua individu selain mengekori mangsa sebelum melakukan serangan.

“Kita kenal pasti modus operandi, setiap kes serangan membabitkan dua orang atau berpasangan dan mengekori mangsa sebelum melakukan serangan.

Mohd. Shuhaily.

“Ketiga-tiga kes ini berlaku selang dua hari bermula dari kes pertama (Akhyar Rashid), kes kedua (Faisal Halim) dan kes ketiga (Safiq Rahim) dan kita harap ini yang terakhir.

“Bagaimanapun, serangan tersebut tidak dapat dikaitkan antara satu sama lain,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.

Menurut beliau, ketiga-tiga kes itu kini disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5), JSJ Bukit Aman.

“Sekiranya ada mana-mana pemain bola sepak professional melihat sesuatu tidak biasa daripada biasa (mencurigakan), ambil langkah berjaga-jaga.

“Kes diambil alih oleh Bukit Aman kerana kita lihat dimensi serangan mungkin merentas kontinjen dan untuk menyelaraskan siasatan ditambah lagi kes semalam (yang ketiga),” katanya.

Semalam, cermin kereta bekas ketua pasukan kebangsaan, Safiq Rahim dipecahkan individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Johor Bahru.

Pada 5 Mei lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya pada pukul 5 petang.

Sebelum itu, pada 2 Mei lalu, pemain Terengganu, Akhyar Rashid cedera selepas menjadi mangsa samun dalam kejadian di apartmennya di Kuala Terengganu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI