fbpx

Saya serik nak ke Narathiwat lagi – Mangsa letupan bom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Adam (kanan) dan Hariza menunjukkan keadaan cermin belakang kereta Proton Wira Aeroback yang pecah semasa insiden letupan bom di Narathiwat, Thailand, malam kelmarin. Foto ROHANA MOHD. NAWI

TUMPAT – “Saya serik dan takut untuk ke Narathiwat lagi.”

Itu luahan Siti Aishah Ismail, 31, yang merupakan salah seorang daripada dua rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden letupan bom motosikal di Jalan Phu Pha Phakdi, Daerah Mueang, Wilayah Narathiwat, Thailand, malam kelmarin sebaik tiba di Jeti Feri Jabatan Kerja Raya (JKR), Pengkalan Kubor, di sini sebentar tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9.35 malam waktu Thailand itu mengakibatkan Siti Aishah cedera ringan pada bawah dagu selepas terkena cebisan letupan bom selain bengkak di kepala, manakala kakak iparnya, Hariza Aziz, 38, yang mengandung tujuh bulan mengalami sesak nafas.

Siti Aishah, berkata, dia bersyukur kerana kecederaan yang dialaminya tidak serius.

“Ajal saya dan anak saya belum sampai. Kejadian letupan bom itu terlalu dekat dengan tempat kami sedang bersiar-siar di tapak ekspo.

“Sejujurnya, saya serik dan takut untuk ke Narathiwat lagi. Nasib baik motosikal kami tidak mengalami kerosakan yang teruk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas masuk ke sempadan negara kira-kira pukul 5.05 petang tadi melalui Jeti Feri JKR, Pengkalan Kubor, di sini.

Siti Aishah memberitahu, bagaimanapun, urusannya di Thailand belum selesai dan perlu menjejakkan kaki semula ke Narathiwat selepas ini apabila cukai jalan dan geran motosikalnya hilang semasa insiden itu.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, dua rakyat Malaysia termasuk seorang yang sedang sarat mengandung terkena letupan bom ketika sedang bersiar-siar di tapak ekspo di Jalan Phu Pha Phakdi, Daerah Mueang, Wilayah Narathiwat kelmarin.

Sementara itu, suami kepada Hariza, Mohd. Adam Ibrahim, 31, berkata, dia memapah isterinya yang sarat mengandung selepas terdengar letupan bom sejauh 20 meter dari lokasi mereka makan malam dan bersiar-siar.

“Saya agak panik apabila isteri memaklumkan bahawa tiada pergerakan anak dalam perutnya. Selepas keadaan isteri semakin stabil, dia dapat merasakan semula pergerakan anak di dalam kandungan.

“Insiden itu turut menyebabkan cermin belakang kereta jenis Proton Wira Aeroback miliknya pecah akibat terkena serpihan bom,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI