SHAH ALAM – Sebagai seorang wanita bergelar ibu, jiwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sedikit terusik apabila melihat reaksi balas ditunjukkan oleh bintang Harimau Malaya, Faisal Halim yang kini masih terlantar di katil hospital.
Walaupun pergerakan Faisal sedikit terbatas, komunikasi pemain kelahiran Pulau Pinang itu menerusi senyuman dan renungan mata sudah memadai untuk beri perkhabaran positif buat industri bola sepak tempatan.
“Walaupun sekadar melihatnya dari jauh dan dipisahkan oleh cermin kaca, kami gembira dengan tindak balas Faisal. Saya tunjuk isyarat hati sebagai tanda kami semua sayangkannya dan dia balas dengan senyuman.
“Sudah tentu sedih melihat keadaan beliau tetapi saya juga yakin tuhan sayangkan Faisal, sebab itu beliau ada peluang untuk pulih sekarang. Walaupun terlantar atas katil, renungan mata dia menunjukkan yang beliau begitu positif.
“Setiap kali kita senyum dan tunjuk (isyarat) tanda hati kepadanya, dia balas dengan penuh positif,” kata Hannah selepas melawat Faisal bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Hannah juga memberi jaminan yang pihaknya akan terus memberikan sokongan kepada Faisal termasuk memberikan sokongan kauseling kepada isterinya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menjelaskan Faisal kini sudah pun boleh makan dan mula ada kemahuan untuk buat latihan normal bola sepak. – KOSMO! ONLINE