TUMPAT – Dua sekeluarga yang merupakan wanita rakyat Malaysia termasuk seorang yang sedang sarat mengandung terkena letupan bom semasa mereka sedang bersiar-siar di tapak ekspo di Jalan Phu Pha Phakdi, Daerah Mueang, Wilayah Narathiwat, Thailand malam kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 9.35 malam waktu Thailand itu mengakibatkan Siti Aishah Ismail, 31, cedera ringan pada bawah dagu selepas terkena cebisan letupan bom selain bengkak di kepala manakala kakak iparnya, Hariza Aziz 38, yang mengandung tujuh bulan mengalami sesak nafas.
Kakak kepada Siti Aishah, Nurul Maizatul Elyana, 34, berkata, keadaan adiknya ketika ini semakin stabil sebelum dibenarkan keluar dari hospital dan dijangka pulang ke Kelantan secepat mungkin.
“Siti Aishah dan suaminya, Mohd. Afendi Aziz, 33, bersama anaknya berusia empat tahun keluar dari rumah dengan menaiki motosikal jenis Yamaha Ego kira-kira pukul 2 petang pada Ahad lalu ke Narathiwat untuk menziarahi datuk saudara suaminya yang sakit tenat.
“Difahamkan, Siti Aishah tidak sempat berjumpa dengan datuk saudaranya kerana telah meninggal dunia akibat sakit tua. Pada sebelah malam, mereka sekeluarga pergi ke tapak ekspo itu dan bertemu dengan Hariza yang datang dengan sebuah kereta ke sana.
“Semasa anak Siti Aishah sedang bermain permainan kereta, mereka dikejutkan dengan letupan bom. Serpihan letupan itu terkena pada bahagian mukanya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Geting, Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan cerita Siti Aishah, bom yang meletup itu berada di dalam sebuah motosikal yang dipakir di kawasan itu.
“Saya dan ibu, Narizah Nor, 56, bersyukur kerana Siti Aishah dan keluarganya selamat dalam kejadian itu walaupun mengalami kecederaan,” ujarnya.
Kejadian pukul 9.35 malam waktu Thailand itu turut mengakibatkan enam lagi individu mengalami kecederaan. – KOSMO! ONLINE