BERLIN – Polis Jerman menyuraikan protes melibatkan beratus-ratus aktivis pro-Palestin di pekarangan Universiti Free Berlin, yang merupakan tindakan terbaharu pihak berkuasa terhadap penunjuk perasaan setelah ia merebak ke Eropah dari Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar Arab News.
Siri tunjuk perasaan melibatkan pelajar kampus itu menggesa supaya hubungan akademik dengan Israel diputuskan berhubung perang antara Israel dengan Hamas di Semenanjung Gaza.
Peserta memasang kira-kira 20 khemah dan membentuk perisai manusia di sekeliling mereka di universiti tersebut.
Kebanyakan mereka menggunakan pelitup muka dan menyarung penutup kepala keffiyeh sebagai simbol solidariti kepada penduduk Palestin.
Bagaimanapun, polis Berlin menyeru pelajar untuk meninggalkan universiti itu menerusi pembesar suara selain menahan sejumlah peserta ketika pergelutan berlaku.
Protes yang kini merebak ke Eropah itu turut berlaku di bandar Leipzig, di mana kira-kira 50 peserta membina khemah di kampus Universiti Leipzig, petang semalam.
Awal semalam, polis Belanda turut meleraikan demonstrasi serupa di Universiti Amsterdam, di mana kira-kira 140 orang ditahan.
Di Austria, penunjuk perasaan berkhemah di pekarangan utama Universiti Vienna semalam dalam protes yang memasuki hari kedua.
Protes serupa turut berlaku di 12 universiti di Britain termasuk Oxford dan Cambridge, selain turut merebak ke beberapa kampus di Finland, Denmark, Itali, Sepanyol dan Perancis.
Dalam tunjuk perasaan itu, pelajar-pelajar universiti turut mendesak supaya perang antara tentera Israel dengan Hamas di Semenanjung Gaza dihentikan segera. – AGENSI