BEKAS juara dunia tiga kali MotoGP, Jorge Lorenzo menganggap perubahan peraturan perlumbaan pada 2027 akan menjadikan saingan motosikal berprestij di dunia itu bertambah sengit dan lebih menarik untuk disaksikan selepas ini.
Bermula 2027 nanti, Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) memutuskan untuk memperkenalkan jentera baharu bagi memastikan sukan itu lebih selamat dengan kapasiti enjin akan dikurangkan daripada 1000cc kepada 850cc.
Tegas Lorenzo, peraturan baharu itu akan menjadikan perlumbaan lebih seimbang apabila semua pasukan akan bermula daripada bawah semula untuk membangunkan jentera serba baharu nanti.
“Sebelum ini, jentera 2024 sangat laju dan boleh memecut sehingga 400 kilometer sejam (km/j) tetapi selepas ini enjin akan dikurangkan dan aerodinamik juga berlaku perubahan, sekali gus menyaksikan jentera 2027 sedikit perlahan.
“Saya harap perubahan ini bagus untuk ditonton oleh peminat dua roda kerana kemungkinan perebutan gelaran dunia juga akan lebih menarik memandangkan jentera 2027 serba baharu dengan keupayaan jentera menjadi seimbang.
“Jadi, penonton akan lebih teruja menyaksikan perlumbaan tersebut nanti,” katanya yang juga duta kepada VMoto ketika ditemui di Kuala Lumpur hari ini.
Ketika ditanya adakah perubahan tersebut bakal menjejaskan Ducati, Lorenzo mengakui segalanya akan terjawab pada 2027 nanti.
“Ducati ketika ini memiliki jentera terpantas dan kita akan lihat apa yang akan berlaku pada 2027,” ujarnya. Selain perubahan enjin, penggunaan peranti holeshot dan front ride height turut ‘diharamkan’ bermula 2027 nanti bagi memastikan perlumbaan tersebut lebih selamat.