fbpx

Muhyiddin dibenar ziarah kakak sakit di Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh NORLIZAH ABBAS/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin dibenar ke Australia untuk melawat kakaknya yang menghidap kanser selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini memulangkan sementara pasportnya yang ditahan berkaitan kes menyalah guna kedudukan dan pengubahan wang haram.

Hakim Azura Alwi membenarkan bekas Perdana Menteri mendapatkan semula pasportnya bermula hari ini dan diserahkan melalui peguam Tang Jia Wearn selepas pihak pendakwaan tidak membantah permohonannya.

Mahkamah mengarahkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memulangkan pasport menerusi peguam tersebut pada atau sebelum 28 Mei.

Terdahulu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin memohon pasport dipulangkan bagi membolehkan anak guam melawat kakaknya berusia 82 tahun di Australia yang menghidap kanser.

Hisyam berkata, bekas Perdana Menteri dijadualkan berlepas pada 12 Mei ini dan dijangka pulang pada 25 Mei.

“Kami mohon pasport itu diserahkan kepada Tang Jia Wearn dan dipulangkan melalui peguam berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asmah Ahmad memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu kerana alasan yang dikemukakan dalam afidavit, adalah munasabah.

Pada prosiding itu, Azura turut menetapkan 13 Jun ini bagi mendengar permohonan Muhyiddin untuk menangguhkan perbicaraan kes menyalahguna kedudukan dan pengubahan wang haram.

Bekas Perdana Menteri memohon perbicaraan ditangguhkan sementara menunggu permohonan semakan yang dijadualkan didengar pada 9 Julai ini, diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Hisyam memaklumkan, pihaknya memfailkan permohonan penangguhan semalam dan memohon ia didengar dahulu.

Sementara itu Nor Asmah berkata, pihaknya menerima notis permohonan itu semalam dan akan memfailkan afidavit bagi membantahnya.

“Kami juga mahukan permohonan agar kesemua kes (empat pertuduhan menyalahguna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram) dibicarakan secara bersama, didengar terlebih dahulu,” ujarnya.

Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan mengembalikan empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan RM232.5 juta terhadap bekas Perdana Menteri.

Ini bermakna Muhyiddin menghadapi sejumlah tujuh pertuduhan termasuk tiga bagi kesalahan pengubahan wang haram.

Muhyiddin, 77, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa melibatkan tiga syarikat dan seorang individu, bagi parti berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI