HULU SELANGOR – MIC akan menyediakan pengangkutan percuma bagi memudahkan pengundi India yang tinggal jauh ke pusat mengundi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia melibatkan sebanyak 93 kenderaan terdiri daripada kereta dan van.
“Kita sediakan (pengangkutan) di semua daerah kerana ada juga pengundi yang mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) ini tetapi menetap di luar Kuala Kubu Baharu.
“Contohnya, di Nigel Gardner, sebelum ini ramai bekerja di sektor perladangan, namun sudah berhijrah ke Batang Berjuntai. Maka, kita beri pengangkutan percuma khususnya kepada masyarakat India,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ‘walkabout’ Barisan Nasional di Kampung Pasir, Kerling, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, beliau mendapati persepsi masyarakat India kini mula berubah dan semakin terbuka terhadap PRK DUN tersebut.
“Perkembangan itu kita dapat menerusi ceramah kelompok dan perjumpaan bersama pengundi yang kita laksanakan sehingga hari ini.
“Walaupun di peringkat awal itu ada juga komuniti India yang tidak tentu arah dan masih fikir tak perlu (mengundi), tetapi kita lihat ada perubahan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE