PETALING JAYA – “Ye lah saya bawa Grab je.”
Itu pendedahan menantu pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim, Ahmad Aslam menerusi sekeping gambar dalam TikToknya.
Tulisan ringkas pada ruangan kapsyen itu seolah-olah seperti merendah diri selepas ramai tertanya-tanya mengenai pekerjaannya.
Akaun TikTok aslamgrab yang dibuka semalam diikuti lebih 20,000 orang. Bahkan, dua hantaran dibuat suami kepada pempengaruh Marissa Dania Hakim dan Umisya Mazlan itu turut dilihat lebih 700,000 kali.
Aslam yang juga bapa kepada dua cahaya mata itu terbuka mendedahkan mencari rezeki dengan sebuah syarikat e-hailing.
Menerusi perkongsian tersebut, dia mengenakan pakaian seragam sambil mengendong topi keledar syarikat berkenaan.
Sementara itu dalam hantaran berasingan, Aslam memuat naik video memberi salam dan meminta orang ramai mengikutinya di TikTok.
“Hai, Assalamualaikum, saya Aslam, follow (ikut) akaun TikTok baharu saya,” katanya dalam video berkenaan.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dengan segelintir netizen mempersoalkan sama ada akaun itu memang milik Aslam atau palsu.
Ada juga yang berseloroh dengan mengatakan lelaki tersebut perlu bekerja lebih kuat kerana mempunyai dua isteri.
“Kerja keras abang, bini dah dua tu,” tulis seorang netizen.
“Tak mengapa kerja Grab, janji boleh kahwin dua. Semoga dipermudahkan urusan mencari rezeki,” ujar seorang lagi pengikut.
Sebelum ini, nama Aslam hangat diperkatakan selepas berkahwin dengan anak Abby dan Norman, Marrisa Dania, di Songkhla, Thailand pada 27 Disember lalu.
Pernikahan mereka dikatakan dilakukan tanpa pengetahuan keluarga serta isteri pertamanya, Umisya.
Namun kemelut itu berakhir selepas Aslam tampil bertemu dengan keluarga mentuanya awal Aidilfitri lalu dan Abby juga sudah reda menerima ketentuan takdir. – KOSMO! ONLINE