fbpx

Masih boleh dibentuk, budak lelaki miliki 80 pil syabu diarah Sekolah Tunas Bakti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Pasir Mas.

KUALA LUMPUR – Seorang Pesalah Kanak-Kanak (PKK) lelaki diperintah oleh Mahkamah Majistret Pasir Mas, Kelantan ke Sekolah Tunas Bakti selama tiga tahun atas pertuduhan memiliki 80 pil dadah jenis Syabu di sebuah kampung di Pasir Mas tahun lalu.

Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani memerintahkan demikian selepas PKK mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Dalam penghakimannya ketika membuat perintah itu, Majistret Mohd. Izdham menyatakan PKK masih boleh dibentuk akhlaknya jika diberi bimbingan dan tunjuk ajar.

Katanya, pencegahan kes dadah membabitkan pesalah kanak-kanak akan dicapai dengan perintah ke sekolah yang diluluskan dan diberikan mahkamah.

“Adalah terang lagi bersuluh bahawa keadaan persekitaran PKK adalah tidak kondusif untuk PKK berubah menjadi lebih baik.

“Bimbingan yang diperlukan tidak dapat diberikan oleh ibu yang hanya membiarkan PKK berbuat sesuka hatinya, sehingga sanggup membiarkan PKK berjual beli najis dadah di dalam rumah sendiri.

“Dapat dilihat dari laporan akhlak disediakan, ibu kandung PKK sendiri cuba untuk melindungi perbuatan PKK ini. Jika dikembalikan kepada keluarga dan persekitaran sedia ada, tiada apa-apa jaminan PKK tidak akan kembali terlibat dengan dadah,” katanya dalam alasan penghakiman bertarikh 21 April lalu yang dimuat naik menerusi sistem pengurusan e-Kehakiman.

Penghakiman lanjut turut menyatakan pesalah terbabit memerlukan panduan dan bimbingan bagi mengubah dirinya menjadi lebih baik dan perintah ke sekolah berkenaan (Tunas Bakti) adalah bersesuaian bagi tujuan itu.

Ini kerana kes membabitkan pemilikan dan penyalahgunaan dadah adalah kesalahan serius, selain pengakuan
bersalah bukan justifikasi untuk memberi hukuman atau perintah yang ringan.

“Apatah lagi kanak-kanak itu memiliki pil mengandungi methamphetamine dalam kuantiti yang sangat banyak apabila mengambil kira usia pesalah yang masih muda,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, PKK diidakwa memiliki pil methamphetamine (Syabu) berat bersih 1.18 gram di sebuah kampung di Pasir Mas, Kelantan pukul 4.10 pagi pada 3 Oktober 2023.

Justeru pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI