fbpx

Malaysia cadang wujudkan diplomasi orang utan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari (tiga dari kiri) merasmikan Forum Biodiversiti Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).

PETALING JAYA – Malaysia berhasrat untuk mewujudkan diplomasi orang utan seperti China yang telah berjaya mencipta diplomasi panda kepada negara-negara di seluruh dunia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu merupakan strategi diplomasi di mana hubungan dengan negara dagang sawit terutamanya pengimport utama seperti Kesatuan Eropah, India dan China dapat diperkukuhkan.

Katanya, perkara itu juga bagi membuktikan kepada masyarakat global bahawa negara sentiasa menjaga keseimbangan antara memenuhi keperluan keselamatan makanan sambil menjaga alam sekitar.

“Dengan memperkenalkan diplomasi orang utan, secara langsung membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia sentiasa komited terhadap pemulihan biodiversiti.

“Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan defensif terhadap soal minyak sawit, sebaliknya kita perlu menunjukkan kepada negara-negara dunia bahawa Malaysia merupakan pengeluar sawit yang mampan dan komited menjaga hutan serta kelestarian alam,” katanya dalam satu hantaran di aplikasi X semalam.

Terdahulu, Johari telah merasmikan Forum Biodiversiti Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Resorts World Awana semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya mengalu-alukan syarikat besar sawit untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjaga, memelihara serta memberi kesedaran kepada rakan global negara disamping menyediakan kepakaran teknikal mengenai spesis kehidupan liar yang ikonik di negara ini.

“Ini akan menjadi manifestasi bagaimana Malaysia memelihara spesis hidupan liar dan mengekalkan kemampanan hutan terutamanya di dalam landskap perladangan kelapa sawit.

“Tahniah kepada MPOGCF yang bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) dan Taman Negara Semenanjung Malaysia serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam menganjurkan forum ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI