fbpx

Keluarga mangsa pokok tumbang masih terkejut, belum rancang ambil tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli keluarga pemandu peribadi, Allahyarham Md Rizal yang menjadi mangsa pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail ketika ditemui di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli keluarga Allahyarham Md. Rizal Atan, 47, yang terkorban dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, di sini semalam masih belum merancang untuk mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak dalam masa terdekat.

Adik Allahyarham, Shahrizan Atan, 38, berkata, keluarganya memerlukan masa untuk bertenang kerana masih terkejut dengan pemergian Allahyarham yang berlaku dalam sekelip mata.

Menurut Shahrizan, sebarang keputusan mengenai tindakan seterusnya akan dibuat oleh waris abangnya iaitu balunya.

“Buat masa ini, kami ingin menyelesaikan satu persatu urusan dahulu. Kemudian baru kami akan berbincang dengan ahli keluarga untuk menentukan sama ada ambil tindakan atau tidak.

“Saya hanya ikut cakap waris jika dia hendak ambil tindakan, kami akan ambil. Jika dia reda, kami terima,” katanya ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Jelas Shahrizan, buat masa sekarang, hanya majikan abangnya yang menghubungi keluarga mangsa dan mengucapkan takziah.

“Kami sekeluarga sudah membuat laporan polis. Majikan pun sudah berhubung dengan isteri arwah.

“Namun sekarang, saya tidak pasti sama ada keluarga telah menerima sumbangan daripada majikan Allahyarham,” katanya.

Tambah Shahrizan, mereka sekeluarga mengakui berasa ralat dengan tragedi yang menimpa Allahyarham abangnya yang merupakan seorang pemandu peribadi.

“Saya kecewa, saya lihat pokok yang tumbang sangat uzur dan sepatutnya diselenggara, bukannya tunggu perkara sebegini baru hendak ambil tindakan.

“Disebabkan tragedi ini, saya kehilangan abang sekelip mata,” katanya sebak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI