SHAH ALAM – Kerajaan negeri berharap kes serangan simbahan asid ke atas pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim tidak mempunyai sebarang unsur sabotaj terhadap persediaan Red Giants menjelang Liga Malaysia.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sekiranya wujud, maka perlu ada perubahan besar besar dalam pemikiran persaingan bola sepak di Malaysia.
Katanya, kejadian tidak bertanggungjawab tersebut adalah satu peristiwa yang wajar diberikan perhatian semua pihak.
“Semoga tiada unsur-unsur serangan kepada Faisal merupakan sabotaj terhadap persediaan pasukan terutama menjelang perlawanan dan liga nanti.
“Namun, saya percaya profesionalism pasukan keselamatan dan saya harap disiasat sepenuhnya. Cuma semakin lama dibiarkan, akan timbulkan makin banyak spekulasi tidak baik kepada bola sepak dan masa depan sukan dalam negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Muhibbah Aidilfitri Kumpulan Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) (MBI), hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri bersedia menyalurkan peruntukan dari segi perubatan dan rawatan terhadap Faisal.
“Semalam saya sudah berhubung dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan turut menyatakan kalau ada kebarangkalian keperluan tambahan untuk perubatan atau rawatan kepada pemain tersebut, sila nyatakan.
“Kerajaan negeri sedia membantu sama ada melalui dana kerajaan negeri atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) anak-anak syarikat milik kerajaan negeri yang boleh dilaksanakan (bagi tujuan kos rawatan dan pemulihan),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE