PETALING JAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mendoakan tonggak skuad Harimau Malaya, Faisal Halim dikurniakan kesembuhan segera dan dapat kembali meneruskan perjuangan dalam arena sukan bola sepak.
“Saya secara peribadi turut bersimpati atas kejadian yang menimpa bintang bola sepak negara, Faisal Halim yang di simbah asid pekat baru-baru ini.
“Mohon sama-sama kita doakan supaya Faisal Halim lekas sembuh dan kembali semula menyarung jersi Harimau Malaya,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Pada masa sama, beliau berharap agar seluruh keluarga pemain Selangor FC itu kuat menghadapi ujian ini.
“Saya yakin pihak polis sudah menjalankan siasatan yang terperinci berhubung insiden ini. Sama-sama kita berikan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia),” ujarnya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan, Faisal telah selesai jalani pembedahan kedua yang berlangsung selama tiga jam petang semalam dan keadaannya semakin stabil.
Faisal ketika ini sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam susulan disimbah asid pada Ahad lalu dan beliau disahkan mengalami kelecuran tahap empat. – KOSMO! ONLINE