GEORGE TOWN – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Perak akan membekalkan air terawat ke Pulau Pinang dianggap berita terbaik untuk negeri ini dalam tempoh lima dekad.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, ini kerana Pulau Pinang perlu segera meneroka sumber air utama yang kedua untuk memenuhi keperluan airnya dan memacu kemajuan sosio ekonomi seterusnya menjelang 2030.
“Projek bekalan air utama terakhir yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan untuk Pulau Pinang adalah Skim Air Sungai Muda la dibuka oleh Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein, pada tahun 1973.
“Sepanjang 51 tahun yang lalu, Pulau Pinang telah menjadi sangat bergantung kepada Sungai Muda sebagai satu-satunya sumber air mentahnya,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, Projek Air Perak-Pulau Pinang dijangka memberi manfaat kepada Pulau Pinang dan membantu mencukupkan bekalan air selepas 2030.
“Pada Februari 2024, penggunaan air Pulau Pinang adalah 927 juta liter sehari (JLH). Permintaan air dijangka mencecah 1,532 JLH menjelang 2030 dan 1,844 JLH menjelang 2040. PBAPP sedang melaksanakan Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030)untuk memastikan bekalan air mencukupi sehingga 2030,” katanya. -KOSMO! ONLINE