BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui pingat gangsa yang diraih sewaktu Piala Thomas 2024 di Chengdu, China baru-baru ini melonjakkan semangat mereka untuk menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 yang membuka tirai Julai nanti.
Aaron mengakui dia memperoleh pengalaman yang berbeza sewaktu beraksi di Piala Thomas bersama gandingannya, Wooi Yik sekali gus memberi keyakinan tinggi untuk ke Paris yang berbaki lebih kurang dua bulan sahaja lagi.
“Keadaan sekarang memang membuatkan prestasi kita berada pada tahap tertinggi. Ada beberapa aspek yang perlu dipantau, tetapi prestasi memang jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini.
“Piala Thomas kali ini beri kami banyak impak positif. Prestasi, pengalaman dan juga momentum itu tidak dapat ketika menjalani latihan. Saya mahu kekalkan prestasi ini sehingga Olimpik menutup tirainya,” katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, Sepang pagi semalam.
Gandingan juara dunia 2022 itu menyumbang mata tunggal kepada Malaysia selepas menewaskan Liang Wei Keng-Wang Chang 15-21, 21-12, 21-17 pada aksi separuh akhir menentang China Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Aaron turut menaruh harapan tinggi agar dapat menentang pasangan terbaik dunia yang lain pada Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebagai satu persediaan sebelum berdepan cabaran sebenar di Paris nanti.
“Kami akan jadi pencabar yang lebih baik daripada sebelum ini. Kira-kira empat hingga enam minggu sebelum Olimpik, kami tidak akan menyertai mana-mana kejohanan.
“Disebabkan hampir sebulan tidak menyertai kejohanan, saya berharap kami diundi menentang beregu terbaik dunia untuk mengekalkan momentum kami semasa di gelanggang,” katanya.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik merangkul pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo edisi 2020 menundukkan gandingan terbaik Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia dengan keputusan 17-21, 21-17, 21-14.