MULA berlakon sejak tahun 1970-an, Zeenat Aman mendedahkan sudah melalui pelbagai pengalaman di set penggambaran.
Akui aktres berusia 72 tahun itu, paling meninggalkan kesan adalah ketika berkongsi set dengan haiwan liar yang dikurung untuk tujuan persembahan atau karnival.
Menurut bintang yang popular menerusi filem Yaadon Ki Baaraat, melihat seekor gajah tua yang dipaksa mengikut arahan pelatihnya demi menjayakan babak adalah perkara menyedihkan.
Air matanya mengalir melihat keadaan haiwan tersebut yang berada dalam set selama berjam-jam selain dikasari supaya patuh kepada arahan.
Katanya, dalam situasi sekarang selain tahap pendidikan masyarakat yang semakin tinggi, penggiat industri perfileman Bollywood diseru peka agar tidak lagi mempergunakan haiwan dalam sesuatu naskhah.