PETALING JAYA – Kesan terbakar tahap empat yang dihadapi oleh pemain bola sepak terkenal, Faisal Halim bukan sekadar melecur, sebaliknya melibatkan kerentungan di dalam organ badan.
Menerusi video di laman TikTok yang dikongsi oleh Dr. Alpha Zaki, beliau menerangkan kelecuran tahap dua akan melibatkan lapisan kulit sahaja, manakala pada tahap empat, kelecuran membawa sehingga ke tulang, otot dan saraf.
“Asid kimia ini sangat berbahaya kerana ketika proses kehakisan sedang berjalan, ia boleh menyebabkan luka tahap dua menjerumus terus ke tahap empat dengan cepat.
“Selain itu, kecederaan sebenar biasanya dikesan setelah operasi mencuci luka selesai,” ujarnya.
Dr. Alpha turut berkongsikan punca kebakaran kes Faisal itu adalah di bawah kategori kimia yang disebabkan oleh asid.
Menurutnya, cara merawatnya adalah dengan membuat rawatan ganti kulit yang dijangkakan akan dilakukan oleh pihak hospital dengan segera.
“Pemulihan ganti kulit mungkin akan diambil dari peha pesakit atau penderma yang lain, namun di Malaysia, setakat ini hanya diambil daripada tuan badan sendiri,” katanya.
Tambahnya, atlet negara itu mungkin akan memerlukan banyak kali pembedahan untuk membaik pulih segala kerosakan yang dialami. – KOSMO! ONLINE
@alepza11 Faisal Halim disahkan melecur tahap 4 dan dimasukkan ke ICU. Speedy recovery Mickey! #dralphazaki ♬ original sound – Alpha Zaki