PETALING JAYA – Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek kedua kes simbah asid terhadap pemain bola Selangor FC, Faisal Halim, ditahan semalam.
“Kita berjaya menahan seorang lagi suspek lelaki tempatan di Bandar Baru Bangi, lewat petang semalam.
“Suspek berusia 30-an itu akan direman pagi ini di Mahkamah Petaling Jaya, di sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Jelasnya, motif kejadian masih dalam siasatan pihaknya.
Sebelum ini, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an, Pandan Indah, Ampang, bagi membantu siasatan.
Semalam Kosmo! melaporkan Faisal disahkan melecur tahap empat di sekitar tubuhnya yang terkena simbahan asid, di pusat beli-belah Petaling Jaya, kelmarin. – KOSMO! ONLINE