fbpx

K2

Senaman konsisten lebih baik daripada senaman intensiti tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai melakukan yoga sempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

RUTIN senaman adalah satu keperluan untuk gaya hidup yang lebih sihat.

Aktiviti fizikal seperti berlari, berenang, bermain badminton atau pun melakukan senaman yoga mempunyai impak yang sangat besar terhadap kesihatan tubuh badan kita.

Begitu pun, apabila membicarakan tentang kesihatan, ramai di antara kita yang masih belum mencapai matlamat senaman seperti yang disyorkan pakar kesihatan.

Satu kajian yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2020 mendapati, hanya 53.9 peratus rakyat Malaysia yang benar-benar menjaga kesihatan dengan melakukan sekurang-kurangnya satu aktiviti fizikal secara konsisten.

Sempena dengan sambutan Hari Kesihatan Sedunia yang disambut dalam bulan lalu, syarikat pengeluar makanan tambahan kesihatan, LAC Malaysia menganjurkan acara yoga komuniti bertempat di Karma Yoga Studio, Bangsar, Kuala Lumpur.

Aktiviti yoga bukan sahaja memberi manfaat yang baik kepada kelenturan tubuh badan, bahkan ia juga mampu memberikan ketenangan minda kepada pengamalnya.

Menurut pakar pemakanan bertauliah LAC Malaysia, Cynthia Jetan, tidak ramai yang tahu bahawa melakukan senaman singkat, namun dengan kekerapan yang tinggi adalah jauh lebih baik berbanding melakukan satu senaman berintensiti tinggi.

“Ramai yang memberikan alasan sibuk atau tidak mempunyai masa untuk melakukan senaman dalam rutin harian mereka.

“Hakikatnya, senaman 10 minit yang dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu adalah lebih bermanfaat untuk tubuh badan, berbanding senaman berintensiti tinggi yang tidak dibuat dengan kerap,” kongsinya.

Cynthia berkata, sudah tiba masanya rakyat Malaysia meninggalkan alasan sibuk untuk tidak bersenam dan mula merancang jadual senaman dengan konsisten.

Senaman konsisten yang digabungkan bersama pemakanan sihat boleh memberikan manfaat besar terhadap kesihatan tubuh badan.

“Apabila bercakap tentang pengambilan makanan pula, ramai yang beranggapan bahawa gaya hidup sihat tertumpu kepada larangan atau sekatan memakan sesetengah jenis makanan.

“Sebagai contoh, tidak mahu minum kopi dalam jumlah yang banyak atau takut untuk makan daging merah dalam jumlah yang terlalu banyak.

“Namun, konsep yang boleh diamalkan adalah dengan mengimbangi makanan yang diambil itu dengan makanan lain untuk memastikan tubuh mendapat nutrisi yang baik,” katanya.

Jelasnya, kaedah mudah bagi penggemar kopi untuk mengimbangi pengambilan kafein yang banyak adalah menambah jumlah air kosong yang diminum.

“Jika anda tidak boleh berfungsi sekiranya tidak mengambil minuman kafein sehari, maka imbanginya dengan minum air putih yang banyak, memandangkan kafein boleh menyebabkan dehidrasi.

“Begitu juga dengan pemakanan daging merah, imbangi pengambilannya dengan makan buah-buahan dalam jumlah yang banyak.

“Ini supaya badan tetap mendapat nutrisi yang diperlukan dan kekal sihat,” kongsinya.

Selain senaman dan juga makanan, Cynthia turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa memastikan tubuh mendapat rehat yang cukup.

Tidur yang berkualiti adalah cukup penting bagi memastikan tubuh kekal bertenaga dan secara semula jadinya, apabila tubuh cukup rehat maka anda akan mempunyai tenaga yang mencukupi bagi hari berikutnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI