fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: SPR sasar 75 peratus keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Ghani ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal PRK Kuala Kubu Baharu di Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri, Kem Erskine, Selangor hari ini.

HULU SELANGOR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan peratusan keluar mengundi melebihi 75 peratus pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei ini.

Sehubungan itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, beliau menyeru supaya semua pengundi dapat menunaikan tanggungjawab mereka dan tidak memandang ringan terhadap proses pilihan raya.

“Saya menyeru supaya semua pengundi dapat keluar mengundi. Jangan kita rasa, tidak apalah, tak payah keluar mengundi sama sahaja. Ini biasalah keluhan-keluhan yang keluar daripada sahabat-sahabat yang mungkin dia rasa tanggungjawab itu dipandang ringan.

“Tetapi sebenarnya satu undi adalah membina kepada pentadbiran negara,” katanya ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal di Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri, Kem Erskine, Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, proses undi awal yang turut melibatkan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Baharu berjalan dengan lancar setakat ini.

“Pada pagi ini, peratusan mengundi awal secara keseluruhan (bagi) sejam pertama adalah 24 peratus manakala, sejam kedua 55 peratus. Namun untuk tentera, lebih dasyat, mencapai 70 peratus setakat pukul 10 pagi.

“Kita harap dengan cuaca yang baik, undi awal hari ini dapat mencapai peratusan yang tinggi,” jelasnya.

Untuk rekod, PRK Kuala Kubu Baharu mempunyai seramai 863 pengundi awal berdaftar melibatkan 625 anggota polis, 238 tentera termasuk pasangan.

Mengulas mengenai kesalahan pilihan raya, katanya, pasukan penguat kuasa SPR menerima dua laporan berkaitan penyalahgunaan gambar Yang di-Pertuan Agong serta pemimpin Kerajaan Perpaduan yang dikatakan tidak bertanding, namun telah diambil tindakan.

“Yang lain semua berjalan lancar dan saya berharap kita dapat teruskan (perkara ini) supaya dalam tempoh tiga hari ini tiada apa-apa provokasi di antara pihak yang berkempen,” jelasnya.

Justeru, Abdul Ghani berharap, semua pihak yang bertanding dapat meneruskan kempen dalam keadaan harmoni dan tidak membangkitkan isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R).

“Di Hulu Selangor ini sebenarnya semua saudara mara dan adik-beradik kita. Jadi, berpolitik biarlah secara matang supaya politik negara dilihat semakin baik. Benda-benda yang dilarang itu jangan dibangkitkan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI