HULU SELANGOR – Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok mencabar Perikatan Nasional (PN) supaya mengemukakan bukti rasuah berhubung dakwaan salah guna kuasa dan jentera sebelum dan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu berlangsung.
Dakwaan itu terdahulu dikemukakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mana berhasrat mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini.
Teresa berkata, PN dianggap seperti ‘pandai cakap sahaja’ tanpa mengemukakan sebarang bukti berkaitan dakwaan yang diuar-uarkan kepada media tempatan sepanjang tempoh berkempen ini.
“Sekarang ini mereka (PN) cabar sahaja dengan menyatakan kalau mereka kalah dan kalau kami menang. Boleh nyatakan apa sahaja kesalahan yang kami (parti) buat selama ini?
“Mereka tuduh kami ada kelakuan rasuah, tunjuklah bagi bukti. Tapi sampai skrg mereka cakap sahaja,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Borang Penubuhan Cawangan DAP Melayu Baharu, di Pusat Khidmat Kuala Kubu Baharu, di sini, hari ini.
Dalam majlis tersebut, Teresa mengumumkan penubuhan dua lagi cawangan DAP Melayu bagi Parlimen Hulu Selangor dengan tambahan keahlian seramai 100 lagi.
Katanya, penambahan ahli baru dalam kalangan kumpulan muda Melayu berusia lingkungan 30-an membuktikan bahawa calon muda PH, Pang Sock Tao berjaya menarik minat golongan ini untuk menyertai parti.
“Hari ini kita terima lagi dua permohonan penubuhan dari cawangan Taman Bunga Raya 2 dan Taman Seroja di Hulu Selangor. Kebanyakan yang sertai juga adalah orang muda sekali gus menunjukkan betapa calon muda memberi impak kepada komuniti di sini.
“Pada masa terdekat juga kita berbesar hari akan mengumumkan dua lagi pembukaan cawangan DAP Melayu di Parlimen Hulu Selangor. Harus diketahui, DAP sentiasa bersikap terbuka menerima keahlian tanpa mengira kaum,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Cawangan DAP Taman Bunga Raya 2, Mohd. Halim Mohd. Nasir berkata, dia berhasrat penglibatannya dalam parti itu, dapat menjadi ‘jambatan’ kepada komuniti Melayu di tempatnya.
Ujarnya, sebelum ini dia sering dimomokkan keburukan DAP yang didakwa bersifat perkauman dan dilontarkan pelbagai tuduhan-tuduhan lain.
“Tapi semenjak saya bercampur dengan sahabat-sahabat yang terlebih dahulu menyertai parti ini, saya tahu itu semuanya fitnah dan dakwaan semata-mata.
“Saya harap dapat tarik lebih ramai kaum Melayu masuk parti ini dan kenali dengan lebih mendalam. Saya harap juga ahli-ahli lama dapat beri tunjuk ajar kepada ahli-ahli baru untuk lebih mudah bersama-sama dalam parti ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE