fbpx

Malaysia tegas tidak benar syarikat Israel masuk negara – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) ketika hadir merasmikan Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA- Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan mana-mana syarikat yang berdaftar dengan Israel untuk masuk seterusnya melakukan sebarang aktiviti di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penegasan itu termasuk tidak mengizinkan semua kapal kargo milik rejim zionis itu berlabuh menggunakan pelabuhan di negara ini.

Katanya, sebelum ini kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membenarkan kapal kargo ZIM Rotterdam yang dimiliki syarikat Israel, Zim Integrated Shipping Services untuk berlabuh di negara ini sebelum dibatalkan kebenaran menerusi Kerajaan Perpaduan.

“Tidak ada. Kita tidak benarkan. Yang benarkan pada tahun 2002 itu Tun Mahathir, bawa masuk ZIM, kita sudah batalkan.

“Yang benarkan kapal Israel masuk itu Mahathir masa dia jadi Perdana Menteri, dia bagi alasan. Kemudian diteruskan sehinggalah kita batalkan, jemaah menteri batalkan, itu pendirian kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas
meluncurkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir menyarankan kerajaan segera menghalau keluar dua syarikat pembekal senjata utama kepada rejim Zionis selepas kedua-dua syarikat itu iaitu Lockheed Martin dan BAE System didakwa hadir Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024.

Difahamkan, kedua syarikat itu tidak berdaftar di Israel sepertimana syarikat perkapalan ZIM.

Sebelum ini, sebuah portal berita mendakwa kapal kargo milik syarikat Israel dikesan berlepas dari Malaysia minggu lalu, kurang lima bulan selepas Anwar mengumumkan semua kapal milik negara Zionis itu dilarang menggunakan pelabuhan di negara ini sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Semakan menggunakan Marine Traffic mendapati kapal kargo ZIM Rotterdam yang dimiliki syarikat Israel Zim Integrated Shipping Services telah berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 April lalu, sebelum berlepas sehari kemudian menuju ke Pelabuhan Shantou, China.

Zim Rotterdam, dengan nombor Organisasi Maritim Antarabangsa (IMO) 9398450 telah berlayar menggunakan bendera negara Liberia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI