KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi tumpuan kepada motif utama insiden melibatkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim yang disimbah asid oleh individu tidak dikenali, Ahad lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui kesal dengan tragedi yang menimpa pemain Selangor FC tersebut dan berharap PDRM mengambil tindakan lebih tegas terhadap suspek
agar motif jenayah tersebut dapat dikenal pasti.
“Untuk KBS, kita benar-benar kesal melihat tragedi ini dan tidak sepatutnya berlaku terhadap atlet kita atau mana-mana manusia. Sebab itu, kita nak pastikan pihak polis mengambil tindakan paling tegas terhadap suspek untuk pastikan motif ini dikenal pasti.
“Jika motif itu tidak dikenal pasti, mungkin perkara tersebut akan berlaku kepada orang lain. Sebab itulah, siasatan polis ketika ini amat penting,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KBS dan Malaysia Aviation Group (MAG) di Sepang semalam.
Ketika ditanya mengenai laman sosial yang dilihat menjadi penyemai isu kebencian hingga tercetus suasana tidak baik, Hannah enggan mengambil tindakan terburu-buru berjumpa dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyekat akaun media sosial.
Tegas Hannah, adalah tidak adil untuk menyekat mana-mana laman sosial yang dikatakan menjadi punca Faisal Halim diperlaku secara tidak hormat tanpa mengetahui punca jenayah tersebut terlebih dahulu.
“Sukan merupakan satu bidang yang melibatkan banyak ‘passion’ dan adat menang kalah adalah perkara biasa dan saya juga melihat sewaktu isu keadaan padang (Stadium Nasional Bukit Jalil) dimana Datuk Hans Isaac menerima ugutan dalam talian.
“Jadi bagi saya, biarlah pihak polis menyelesaikan siasatan mereka dan kita tidak mahu mengekang kebebasan dalam media sosial kerana itu tidak adil buat peminat sukan,” ujarnya.
Faisal ketika ini sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam dan dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di salah sebuah pusat membeli belah terkemuka di Petaling Jaya.