fbpx

Jurugegas syukur lepas bebas kes noda budak empat tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zairil (tengah) ketika ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah tersebut.

SEREMBAN – Mahkamah Tinggi, di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan seorang jurugegas syarikat swasta daripada pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, pada 2019.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Rohani Ismail terhadap tertuduh, Mohd. Zairil Mohd. Zin, 50, selepas meneliti dan menimbang hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

“Mahkamah memutuskan rayuan perayu ditolak. Justeru itu, keputusan Mahkamah Sesyen pada 23 Oktober lalu (melepas dan membebaskan tertuduh) dikekalkan.

“Saya berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen. Tiada apa-apa alasan untuk mengubah dapatan tersebut,” katanya pada prosiding keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Mohd. Zairil daripada pertuduhan berkenaan pada 23 Oktober tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Zairil yang bekerja di sebuah syarikat air swasta didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di sebuah rumah di Titi, Jelebu pada 21 hingga 22 Mac 2019.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang bertentangan dengan aturan luar tabii kanak-kanak perempuan berkenaan di rumah, lokasi dan tarikh sama.

Sementara itu, Mohd. Zairil ketika ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah tersebut sekali gus membersihkan namanya selepas berhadapan dengan kes itu selama lima tahun.

Seramai 14 saksi telah memberi keterangan di mahkamah sepanjang perbicaraan bermula pada April 2019.

Tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ala’udin Baharom – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI