PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berhasrat menahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu pengisytiharan harta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia kerana siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu masih berjalan.
“Itu tidak lagi (penahanan).Kita tidak berhasrat untuk tahan beliau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di sini hari ini.
Sebelum ini, Azam memaklumkan, negarawan itu antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.
Ekoran penyiasatan itu, kedua-dua anaknya juga diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Pada 18 Januari lalu, SPRM meminta kedua-dua anak Dr. Mahathir, Mirzan dan Tan Sri Mohkzani, mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangan sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.
Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – KOSMO! ONLINE